Kaya dengan sumber alam semulajadi yang indah dan sejarahnya tersendiri menjadikan Kampung Sambir adalah destinasi persinggahan masyarakat tempatan. Kampung ini mempunyai pelbagai keistimewaan. Antaranya, mereka mempunyai tradisi dan budayanya tersendiri serta kawasan-kawasan yang cantik dan menarik untuk dilawati.

 

 

PANTAI TELUK BARUK

 

  

        Meskipun terletak di daerah yang agak terpencil di Asajaya, kampung Sambir ini turut menawarkan suatu tarikan yang dicari-cari oleh pencinta alam sekitar iaitu pantai. Pantai yang dikenali sebagai Pantai Teluk Baruk oleh penduduk sekitar ini terletak tidak jauh dari perkampungan dan juga dikelilingi oleh hutan paya bakau sekitarnya. Pantai tersebut merupakan tempat pembiakan untuk habitat laut yang menjadi salah satu sumber ekonomi untuk penduduk setempat. Antaranya, ikan belancak, ketam dan siput buluh atau dikenali sebagai ambai bagi masyarakat setempat.

 

 

JETI KAMPUNG SAMBIR (TEMPAT MEMANCING)

 

        Bagi para kaki pancing, sudah pasti lokasi ini bakal mencuri tumpuan anda kerana kampung Sambir turut mempunyai sebuah jeti yang terletak di hujung kampung hilir Sambir. Kawasan jeti yang luas dan lapang serta berdekatan dengan laut amatlah sesuai untuk si kaki pancing menghabiskan masa yang lama menangkap ikan, ketam, sotong dan udang. Jeti ini juga merupakan sumber rezeki untuk nelayan setempat. Bagi sesiapa yang berminat dengan memancing, mungkin boleh masukkan lokasi ini dalam senarai tempat untuk dikunjungi.

 

 

PESTA BOLA

 

 

 

        Kampung Sambir menyajikan keunikan yang tersendiri dengan mewujudkan pengajuran kejohanan pesta bola yang diadakan pada setiap tahun oleh pihak JKKK Kampung Sambir. Pesta bola ini adalah pesta tradisi yang dipertandingkan pada setiap syawal ke-3 oleh penduduk setempat kampung Sambir dan dikelola oleh Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB). Menurut presiden KBSB, Jalek Jafar, pesta bola yang dikenali sebagai Piala Perpaduan Kampung Sambir ini telah bermula semenjak era 60-an lagi. Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin menyertai atau peminat bola sepak, mungkin anda boleh berkunjung untuk melihat sendiri tradisi pesta bola kampung tersebut.