NAMA DAN Sejarah Kampung Sambir 

 

        Kampung Sambir telah dibuka pada tahun 1628 sebelum merdeka yang mana dahulu dikenali sebagai Kampung Pandang Sari. Sejarahnya bermula daripada pengembaraan seorang perantau yang dikenali dengan nama Jenal Abidin yang berasal dari Daerah kalaka Saribas. Beliau yang singgah di kampung ini secara kebetulan atas keselamatan kerana dikepong oleh sebahagian lanun yang cuba menangkap beliau. Dalam pada itu beliau bersembunyi dikampung ini dan merasakan bahawa tempat yang disinggahinya ini amat sesuai dijadikan tempat kediaman.

      Dengan kedudukan beliau yang selamat dari ditangkap oleh lanun, maka beliau terus menetap dikampung ini sebagai seorang pengembara. Dengan kedudukan kampung ini yang berdekatan dengan laut yang indah dan menarik sehingga tidak jemu mata memandang, maka kampung ini dia panggil dengan panggilan Pandang Sari.

     Tok Jenal Abidin lah yang mula mengasaskan kampung ini dan beberapa orang rakan bersama beliau dan penduduk yang ada ketika itu, mereka membuka penempatan dan memulakan kehidupan dengan mengerjakan tanaman padi sebagai sumber kehidupan mereka.

     Nama Kampung Sambir diambil daripada sebuah alat yang digunakan oleh penduduk ketika itu mengerjakan sawah padi, iaitu ‘SAMBIR’ yang merupakan bekas untuk mereka menyimpan padi yang telah dikerjakan. Dan apabila saban hari ‘SAMBIR’ disebut dan digunakan maka nama ‘SAMBIR’ seakan serasi kepada penduduk kampung. Oleh kerana itu maka nama KAMPUNG PANDANG SARI secara rasminya bertukar kepada KAMPUNG SAMBIR sehingga ke hari ini.

      Tok Jenal Abidin telah disemadikan ditanah perkuburan Kampung sambir sebagai seorang pahlawan dan pengasas Kampung Sambir sebagai seorang pahlawan dan pengasas Kampung Sambir yang menjadi sejarah dalam hidup kami sehingga ke hari ini.

 

 

 

Sejarah Sekolah Kebangsaan Sambir 

 

 

      Sekolah Kebangsaan Sambir telah wujud sekitar tahun 1924 lagi. Asalnya Sekolah Kebangsaan Sambir lebih dikenali dengan nama Sekolah Zainal Abidin Kampung Sambir. Sekolah Zainal Abidin Kampung Sambir pada masa itu beratapkan nipah, berdindingkan daun kajang, bertiangkan kayu dan berlantaikan tanah. Sesuai dengan keadaan pada masa tersebut. Sekolah Zainal Abidin Kampung Sambir hanya mampu menampung beberapa orang murid dan guru. Akhir tahun 50-an, Sekolah Zainal Abidin Kampung Sambir telah diperbesarkan kerana pada awal tahun 60-an, kemajuan dan minat ingin belajar ditunjukkan oleh penduduk sekeliling Kampung Sambir seperti Kampung Sebandi Matang dan Kampung Sebandi Ulu.

      Tahun 1967, atas persetujuan bersama penduduk setempat, Sekolah Zainal Abidin berpindah ke tapak baharu iaitu di hujung kampung. Pada masa yang sama, nama sekolah ini juga telah ditukar dengan nama Sekolah Pandang Sari Kampung Sambir. Dua tahun kemudian pembukaan dan perasmian sekolah ini telah dilaksanakan oleh Encik Sim Kheng Hong. Beliau ialah Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Kuching. Perasmiannya pada hari Ahad, 02 Februari 1969. Atas arahan dari kerajaan yang bertanggungjawab pada masa itu, sekali lagi sekolah ini ditukar namanya kepada Sekolah Rendah Kerajaan Sambir (SRKS). Nama tersebut kekal sehingga pertengahan tahun 1999.

      Dasar kerajaan dan Kementerian Pelajaran seiring dengan peredaran masa, semua nama Sekolah Rendah Kebangsaan di seluruh negara ditukar kepada Sekolah Kebangsaan (SK). Selaras dengan perubahan tersebut, Sekolah Rendah Kerajaan Sambir kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK) Sambir kekal sehingga sekarang.