Pengenalan Kampung Sambir

                Kampung Sambir daerah Asajaya, merupakan sebuah kampung kecil yang tidak asing lagi kepada penduduk-penduduk desa seluruh daerah Asajaya dah Kota Samarahan. Namun yang istimewa, Kampung Sambir ini terletak di tepi Laut Cina Selatan yang penduduknya berketurunan sejati.

                  Kedudukannya bersempadan dengan Kampung Sebandi Matang, di sebelah utara. Manakala Sebandi Ulu di sebelah barat. Kampung ini terletak kira-kira 5km dari Kampung Tambirat dan kurang dari 10km dari Pejabat Daerah Asajaya, Kota Samarahan.

               Pada masa ini, Kampung Sambir masih lagi dalam proses pembangunan. Kampung ini mempunyai Sekolah Kebangsaan Sambir yang telah hampir mencecah umur 100 tahun. Sekolah tersebut mempunyai sejarah tersendiri dan akan dibaik pulih pada masa akan datang dengan menambah blok sekolah yang baharu. Kampung ini juga mempunyai klinik kesihatannya sendiri yang terletak bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Sambir tersebut. Kampung Sambir juga mempunyai homestay di mana penduduk di situ menggalakkan orang luar untuk tinggal di situ buat sementara waktu dan menikmati keindahan dan keunikan yang ada pada kampung tersebut.

                 Kampung ini terkenal dengan kek lapis. Ada sebuah kedai kecil yang membuat kek lapis yang sering laku dan di beli ketika Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun. Kek ini terkenal bah kan sampai orang dari luar kampung tersebut turut menempah kek tersebut seperti orang dari Kuching dan Kota Samarahan lazimnya. Kampung ini telah melahirkan  anak-anak muda yang berjaya  dari segi bidang sukan seperti bola sepak dan futsal. Ada sesetengah anak muda tersebut telah dipilih untuk mewakili kelab bola sepak negeri Sarawak. Selain dari itu, kampung ini juga terkenal dengan siput buluh yang boleh didapati tidak jauh dari kampung tersebut. Ini merupakan salah satu sumber pendapatan penduduk kampung tersebut dengan menjual siput buluh yang mereka dapat kepada orang lain. Pada setiap tahun, kampung tersebut akan mengadakan pesta bola secara terbuka yang menariknya diadakan ketika Hari Raya.  Pesta bola ini diadakan setiap tahun terbuka kepada semua kampung dan anak-anak muda yang dari Kota Samarahan dan Kuching yang berminat untuk mengasah bakat dalam permainan bola sepak ini.  Pesta bola ini diadakan juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung tersebut dengan kampung yang lain. Selain daripada berkunjung dari rumah ke rumah, mereka juga dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan pada hari istimewa tersebut.